MASUK IKLAN ANDA (FREE IKLAN SETIAP 5 JAM)

Klik Saja

Monday, August 24, 2009

Kewajipan patuhi amar makruf nahi mungkar

ALLAH SWT mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian berbanding makhluk lain. Justeru, manusia dianugerahkan dengan pelbagai keistimewaan yang seterusnya mengangkat mereka sebagai khalifah Allah SWT yang mentadbir dunia ini.
 
Oleh itu, manusia terutama umat Islam ditaklifkan Allah SWT untuk menjunjung segala perintah-Nya sama ada berupa suruhan mahupun larangan. Antaranya ialah solat, zakat, puasa dan haji serta amalan amar makruf nahi mungkar.
 
Ungkapan amar makruf nahi mungkar sering kali diulang-ulang di helaian al-Quran bagi membuktikan betapa penting dan tingginya amalan itu.
 
Malah, yang lebih menariknya ialah amalan amar makruf nahi mungkar adalah antara ciri utama sebagai umat yang terbaik. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah SWT (dengan sebenar-benar iman).”– (Surah Ali Imran, ayat 110)
 
Bertitik tolak dari sini, umat Islam wajib menginsafi bahawa mereka sebenarnya bertanggungjawab untuk melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar dalam konteks kehidupan seharian, selain menunaikan amalan fardu seperti solat, zakat, puasa dan haji.
 
Tambahan pula, konsep amar makruf nahi mungkar ini sebenarnya pendekatan bagi menyelesaikan segala kemelut atau gejala sosial yang melanda sesuatu masyarakat. Dengan wujudnya kesedaran masyarakat Islam dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar pasti akan menghasilkan satu komuniti harmoni dan sejahtera. Sejarah membuktikan bahawa antara punca kejatuhan dan kelemahan sesebuah kerajaan atau bangsa kerana berleluasanya maksiat atau penyakit masyarakat seperti rasuah dan kezaliman.
 
Sehubungan itu, Allah SWT menegaskan akibat yang menimpa umat terdahulu kerana kelalaian mereka menegakkan kewajiban amar makruf nahi mungkar ini.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah SWT Maha berat azab seksanya.” (Surah al-Anfal, ayat 25)
 
Jelas daripada inti pati ayat suci itu bahawa perbuatan membiarkan saja maksiat berleluasa dalam masyarakat akan membawa bala bencana yang bukan saja menimpa orang berdosa, malah masyarakat keseluruhannya. Oleh itu, setiap Muslim bukan saja diwajibkan menjauhi dirinya daripada perbuatan dilarang Allah SWT, malah wajib mencegah perbuatan terlarang itu daripada merebak dalam masyarakatnya.
 
Kisah kebinasaan kaum Bani Israel cukup menjadi pengajaran kepada umat Islam terhadap pentingnya amar makruf nahi mungkar dijulang dan ditegakkan bagi memastikan kelangsungan kehidupan manusia di bumi ini. Kisah mereka dirakam Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 78-79 yang bermaksud: “Orang kafir Yahudi dari Bani Israel dilaknat (dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) daripada perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Dan sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka lakukan.”
 
Lanjutan itu, Rasulullah saw memberikan panduan kepada umat Islam mengenai adab mencegah kemungkaran apabila dilihat berlaku dalam kehidupan seharian. Sabda Baginda bermaksud: “Sesiapa daripada kamu yang ternampak kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya atau mencegahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya dia tidak mampu dengan tangannya, maka hendaklah dia mengubahnya (mencegahnya) juga dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.” – (Riwayat Muslim)
 
Dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan dengan terang mengenai perkara yang dihalal dan diharamkan kepada umat Islam. Oleh itu, amar makruf nahi mungkar wajib dilaksanakan selaras dengan apa yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Contohnya, kalau Allah SWT mengharamkan judi, riba, arak, kezaliman, fitnah memfitnah dan sebagainya, maka janganlah dibiarkan amalan itu dilakukan dan seterusnya merebak dalam masyarakat Islam. Ini kerana ia jelas larangan Allah SWT. Ringkasnya, apa saja perbuatan ditegah Islam adalah wajib dihalang dan dicegah agar tidak merebak dalam sesebuah masyarakat.
 
Sebaliknya, amar makruf pula lebih menjurus kepada menyeru umat Islam agar kembali kepada Islam secara keseluruhannya. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” – (Surah al-Baqarah, ayat 208)
 
Dari sini, jelas bahawa amar makruf mempunyai pengertian luas merangkumi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia. Menyeru manusia agar berakhlak mulia, berilmu dalam segala disiplin ilmu sama ada duniawi mahupun ukhrawi dan kembali kepada Islam termasuk dalam skop pengertian amar makruf. Begitu juga menyeru manusia ke arah perpaduan dan kesatuan ummah, menegakkan keadilan sosial, memerangi kemiskinan dan perjuangan menegakkan Islam termasuk dalam erti kata amar makruf. Pendek kata, perjuangan ke arah kebaikan dan kesejahteraan ummah sejagat menurut landasan Islam termasuk dalam pengertian amar makruf.
 
Meninjau senario umat Islam mutakhir ini, setiap umat Islam bertanggungjawab melaksanakan amar makruf nahi mungkar berdasarkan kemampuan dan kuasa yang ada pada mereka. Contohnya, ibu bapa bertanggungjawab terhadap anak dalam pemeliharaannya. Anak mereka wajib diasuh dengan tarbiah Islamiah agar menjadi anak soleh dan bermanfaat kepada masyarakat Islam. Sebaliknya, kalau anak mereka melakukan sesuatu bercanggah dengan nilai Islam dan norma masyarakat, maka ibu bapa bertanggungjawab untuk menegur anak mereka dan memelihara mereka daripada terjebak ke lembah larangan Allah SWT. Andainya tanggungjawab ini diabaikan, pasti harapan untuk membina institusi rumah tangga yang bahagia dan harmoni tidak akan tercapai.
 
Seterusnya, setiap anggota masyarakat bertanggungjawab menyemarakkan amar makruf nahi mungkar dalam konteks kemasyarakatan. Setiap orang sewajarnya berusaha ke arah menghidupkan sebuah masyarakat bertolak ansur, bersatu padu dan bekerjasama dalam segala lapangan hidup. Tidak ketinggalan, setiap orang wajib berwaspada terhadap sebarang unsur atau gejala negatif yang cuba meruntuhkan kerukunan dan kesejahteraan yang mengiringi hidup mereka.
 
Manakala bagi pihak kerajaan pula, dengan kekuasaan yang ada pada mereka boleh menguatkuasakan akta, enakmen atau undang-undang bagi memastikan amar makruf nahi mungkar dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
 
Dengan pembabitan semua pihak dalam menjayakan amar makruf nahi mungkar, kerahmatan Ilahi juga yang akan menjelma memayungi kehidupan ummah sejagat.
 
Dalam hal ini, Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itulah akan diberi rahmat oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” – (Surah at-Taubah, ayat 71)

Empat punca hidup manusia tidak tenteram

Empat punca hidup manusia tidak tenteram


SEKUMPULAN bekas pelajar sebuah universiti berkumpul menziarahi bekas pensyarah mereka.. Pensyarah itu amat gembira menerima kedatangan bekas pelajar yang berjaya dalam jurusan dan kehidupan masing-masing. Mereka bertanya khabar dengan penuh mesra dan terus terang. Perbincangan berlanjutan sehingga menyangkut kepada permasalahan berbentuk peribadi. Ada yang mengeluh, mengadu dan meluahkan perasaan yang tertekan dengan pelbagai permasalahan, tekanan hidup berkeluarga, dengan rakan di tempat kerja serta masyarakat sekeliling.

Pensyarah itu hanya tersenyum dan terus menuju ke dapur untuk mengambil cawan pelbagai bentuk dan warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca dan plastik. Ada yang cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada yang biasa saja dan murah. Pensyarah itu menjemput semua bekas anak murid itu minum menggunakan cawan pilihan mereka.

 
Apabila semua bekas pelajar itu mengambil cawan yang terisi air, dia pun berkata: "
Jika kamu perhatikan, semua cawan yang cantik dan mahal itu diambil, yang tinggal hanya cawan yang biasa-biasa dan murah! "Begitulah lumrahnya kita hanya akan memilih yang terbaik (menurut pandangan luaran), sebenarnya itulah punca masalah dan tekanan hidup yang kita semua hadapi!"

Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah
air, bukan cawan itu, tetapi kita secara tidak sedar memilih cawan yang cantik saja! Demikianlah kehidupan ini รข€“ ibarat air. Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam masyarakat semuanya umpama cawan yang beraneka warna itu. Semua itu adalah alat atau pemudah cara untuk meneruskan hidup tetapi kualiti hidup tidak berubah. Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada cawan, kita tidak ada masa untuk menghargai, merasakan dan menikmati air itu!

Apa yang pensyarah itu katakan bertepatan dengan apa yang al- Quran bentangkan mengenai jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak pernah rasa cukup. Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat perkara:


# Kita hanya memandang dan menginginkan apa yang ada pada tangan orang lain.. Kita tidak nampak atau lupakan nikmat di dalam genggaman kita. Walhal, Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu kita tidak rasakan 'keseronokan' atau terasa nikmat dengan pemberian itu.

# Kita terlalu banyak 'komplen' dan komen (mengadu) dan mengeluh serta menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan sekecil-kecilnya dalam kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa kesusahan dan penderitaan sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat kelak.

# Kita terlalu mengejar kemewahan, kemegahan dan glamor kehidupan sehingga melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian hidup yang kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari, pada hal kita tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.

# Kita selalu menganggap kehidupan di dunia ini untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, kita menghabiskan seluruh sumber dalam diri semata-mata untuk membina pengaruh, mengumpul harta dan kemasyhuran diri seolah-olah 'kematian' itu untuk orang lain, bukan untuk kita. Kita lupa semua kejadian akan mati dan walhal akhirat adalah kehidupan abadi.

Oleh itu, dari sekarang kita hentikan perangai suka komplen, komen dan berkeluh kesah. Kita hargailah kehidupan ini. Kita jalani kehidupan sebagai khalifah Allah, melakukan yang makruf, melarang perkara yang mungkar. Kita syukuri nikmat yang ada dan panjangkan nikmat ini kepada orang lain dengan memberikan khidmat menolong dan memudahkan kehidupan orang lain.

Pernah suatu ketika Saidina Ali ditanya oleh seorang lelaki: "Jika diberikan pilihan, mana satukah yang kamu pilih?, kehidupan di dunia atau mati? Jawapan baginda memeranjatkan lelaki itu: "
Saya akan pilih kehidupan di dunia, melalui perjuangan dalam kehidupan ini, saya mendapat bekalan untuk mencapai keredaan Allah di akhirat kelak."

Moga seluruh perjalanan hidup kita diredhai dan dirahmati oleh Allah.
Apa guna hidup seorang hamba tanpa keredhaan penciptaNYA.

Khutbah Rasulullah SAW tentang Dajjal

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: "Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.
 
 
"Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.
 
"Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.
 
Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.
 
"Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: "Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?" Orang Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu." di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah." Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."
 
Kata Rasulullah s.a.w lagi: "Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.
 
"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.
 
"Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.
 
Dalam hadis yang lain, "di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur."
 
Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai."
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: "Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu.
 
Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi."
Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: "Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: "Mengapa menangis?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya. " Rasulullah s.a.w berkata: "Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat."
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa."
 
Ada yang bertanya: "Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu."
Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: "Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?" Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.
Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: "Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?" Mereka semua menjawab: "Ya, kami ingin." Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.
 
Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: "Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas'ud dan kemudian membunuh Dajjal itu."
 
Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita.
 
Wallahu A'lam.
 
"Sesungguhnya hanya Allah lebih Mengetahui RahsiaNya.."