MASUK IKLAN ANDA (FREE IKLAN SETIAP 5 JAM)

Klik Saja

Sunday, August 23, 2009

Ubat bukan halangan berpuasa

Ubat bukan halangan berpuasa







JANGAN lupa mengambil ubat anda ketika bersahur dan berbuka, mengikut arahan doktor.





TAHUN ini, Ramadan 1430 Hijrah jatuh di antara bulan Ogos dan September 2009. Di pertengahannya, kita juga bakal menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52 dalam suasana berpuasa.
Ramadan tahun ini hadir di ketika negara dibelenggu satu ancaman virus baru yang telah meragut berpuluh nyawa warganegara Malaysia, virus Influenza A H1N1.
Namun, kehadiran virus punca selesema babi ini bukan satu-satunya ancaman terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat.
Seperti mana yang telah dimaklumkan pihak berwajib, antara mereka yang paling berisiko mengalami komplikasi akibat H1N1 adalah pesakit yang menghidap penyakit kronik.
Pesakit sebegini bukan sahaja bergantung hidup kepada ubat, kesan penyakit dan pengambilan ubat itu sendiri telah meninggalkan kesan sehingga pertahanan badan menjadi lemah.
Penyakit kronik juga kini semakin mengatasi kehadiran penyakit berjangkit memandangkan kesan berpanjangan dan berterusan penyakit-penyakit berkenaan.
Ruji ubat
Bagi kebanyakan pesakit kronik, ubat boleh dikatakan antara makanan ruji bagi mereka, yang perlu diambil sepanjang masa, mengikut keperluan dan tahap kesihatan masing-masing.
Pergantungan kepada ubat bukan sahaja telah merantai pesakit kepada satu cara kehidupan khusus, mereka juga menghadapi kesukaran melakukan perkara biasa yang dianggap remeh oleh individu yang sihat dan kuat.
Ubat yang diambil juga kadangkala meninggalkan kesan negatif ke atas badan tetapi tetap perlu diambil bagi mengawal masalah kesihatan yang dihadapi.
Dalam situasi pergantungan kepada ubat, amalan wajib seperti berpuasa di bulan Ramadan juga menghadapi kesukaran.
Menahan dari lapar dan dahaga antara 10 hingga 13 jam selama 30 hari tidak begitu mudah bagi mereka yang bergantung kepada pengambilan ubat untuk mengawal paras gula darah, tekanan darah, kesakitan kronik mahupun masalah sistem penghadaman.
Sehinggakan ada yang dinasihatkan, mahupun dilarang berpuasa sama sekali!
"Terdapat beberapa kumpulan utama pesakit yang tidak digalakkan atau tidak boleh berpuasa. Yang paling biasa dihebahkan adalah pesakit gastritis (gastrik) yang teruk dan penghidap penyakit kronik yang tidak terkawal.
"Bagaimanapun, pesakit yang perlu mengambil ubat pada masa atau situasi khusus juga tidak terke cuali. Puasa juga tidak digalakkan bagi pesakit yang mungkin membahayakan diri akibat kekurangan air atau nutrien," jelas Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC).
Menurut beliau, pesakit gastrik yang teruk mungkin tidak mampu berpuasa walaupun cuma untuk beberapa jam.
Penghidap penyakit kronik tidak terkawal pula biasanya melibatkan diabetes atau tekanan darah tinggi (hipertensi) yang teruk.
"Penghidap diabetes yang mengambil insulin menjadi contoh pengguna ubat pada masa yang khusus.
"Ini kerana pengambilan insulin kebiasaannya perlu diikuti dengan pengambilan makanan supaya kandungan gula dalam darah tidak terlalu rendah," katanya.
Tambah Dr. Abdul Malik, selain tiga kumpulan tersebut, pesakit yang menghadapi risiko bahaya ke atas kesihatan diri dan nyawa juga perlu menimbangkan pilihan berpuasa atau tidak.
"Sebagai contoh, pesakit yang muntah dan cirit kehilangan banyak air. Pesakit yang dijangkiti denggi dan mereka yang demam juga memerlukan air secukupnya.
"Oleh itu, mereka tidak digalakkan berpuasa sehinggalah penyakit tersebut tidak lagi membahayakan nyawa," tegasnya.
Puasa ubat
Dr. Abdul Malik menerangkan bahawa pengambilan ubat di kalangan pesakit kini lebih ringkas dan mudah berbanding beberapa tahun sebelumnya.
"Kebanyakan syarikat farmasi kini cuba mengurangkan bilangan ubat yang perlu diambil pesakit setiap hari.
"Langkah ini bukan sahaja untuk meringkaskan dan memudahkan pesakit mengambil ubat, malahan dapat meningkatkan kepatuhan pesakit kepada jadual rawatan dan dos ubat yang diperlukan."
Beliau menjelaskan pesakit yang hanya perlu mengambil ubat sekali atau dua kali sehari juga kurang menghadapi masalah untuk berpuasa.
"Golongan ini boleh mengalihkan pengambilan ubat di waktu pagi, ketika sahur, dan malam, ketika berbuka," katanya.
Sementara itu, penghidap penyakit kronik yang dapat mengawal perkembangan penyakit tersebut juga kini mampu berpuasa.
Dr. Abdul Malik menyatakan pesakit diabetes yang terkawal kini boleh mengalihkan waktu pengambilan ubat mereka ke waktu sahur dan berbuka.
"Kebiasaannya pesakit diabetes mengambil dua dos ubat setiap hari, dos besar pada waktu pagi dan dos rendah pada petang atau malam.
"Ketika puasa, pengambilan dos ini boleh diterbalikkan, dos rendah ketika sahur dan dos besar selepas berbuka," ujarnya.
Beliau menjelaskan dos rendah lebih sesuai ketika sahur memandangkan tidak banyak makanan diambil untuk bersahur.
Dos besar pula lebih sesuai ketika berbuka memandangkan kelaziman pengambilan jumlah makanan yang lebih banyak, terutamanya yang manis, ketika berbuka puasa.
Perkembangan semasa juga memungkinkan pesakit diabetes yang bergantung kepada insulin untuk menyesuaikan pengambilannya pada waktu sahur dan berbuka.
Dari segi pengambilan antibiotik pula, Dr. Abdul Malik memaklumkan bahawa hanya tinggal satu atau dua jenis antibiotik yang perlu diambil sehingga empat kali sehari.
"Kebanyakan antibiotik baru hanya memerlukan pengambilan satu atau dua kali sehari, dengan tumpuan kepada pesakit mematuhi arahan pengambilan ubat."
Kesan puasa
"Bila bulan puasa (Ramadan) tiba, (kawalan) gula saya memang cantik."
Itu menjadi antara ayat lazim pesakit yang dimaklumkan kepada Dr. Abdul Malik.
Beliau mengakui paras gula pesakit diabetes biasanya lebih mudah terkawal di bulan puasa (Ramadan), terutamanya jika mereka tidak melahap makanan yang manis dan tinggi karbohidrat ketika berbuka.
"Kekurangan jumlah dan waktu makan turut mengurangkan pergantungan kepada ubat untuk mengawal paras gula pesakit.
"Bagaimanapun, pesakit diabetes perlu berhati-hati ketika berbuka memandangkan menjadi satu kebiasaan pengambilan banyak makanan manis ketika berbuka," tegasnya.
Pelbagai pilihan makanan di bazar Ramadan mungkin akan merambangkan mata. Banyak kuih yang dijual sama ada manis atau tinggi kandungan karbohidrat.
Amalan pemakanan tempatan bagaimanapun menunjukkan kuih yang manis ini menjadi antara hidangan wajib ketika berbuka..
Dr. Abdul Malik menekankan bahaya jika pesakit diabetes mengambil terlalu banyak makan manis ketika berbuka puasa.
"Walaupun pesakit diabetes boleh mengambil ubat selepas berbuka, adalah lebih baik jika mereka mengambil makanan secara sederhana.
"Amalkan mengambil makanan dalam jumlah kecil, sekadar untuk merasa, dan kalau boleh elakkanlah makanan yang boleh meningkatkan paras gula dalam darah."
Beliau turut menggalakkan pengambilan roti atau nasi bersama sayur segar, di samping buah-buahan segar bagi memastikan tahap kesihatan pesakit terjaga.
"Bersahur amatlah digalakkan untuk penghidap penyakit kronik. Jika tidak berselera, cukuplah dengan memakan sedikit roti bersama ubat.
"Jika bangun cuma untuk makan ubat sahaja juga boleh. Bagaimanapun, pastikan makan sedikit jika mengambil ubat untuk diabetes atau ubat tahan sakit (memberi kesan kepada perut)," katanya.
Selain ubat dan menjaga pemakanan, pesakit juga boleh mengamalkan sedikit senaman ringkas.
"Senaman boleh dilakukan sebelum atau ketika hampir waktu berbuka, senaman ringan seperti aerobik ataupun berjalan.
"Senaman juga boleh dilakukan selepas waktu berbuka, iaitu di waktu malam. Pesakit bagaimanapun tidak digalak melakukan senaman berat kerana dikhuatiri kehilangan banyak air, sehingga menjejaskan badan!"
Patuhi arahan
Walaupun puasa bagi penghidap penyakit kronik bukan semudah untuk individu sihat, perkembangan perubatan kini membolehkan pesakit berpuasa tanpa masalah besar.
Bagaimanapun, Dr. Abdul Malik mengingatkan pesakit supaya tidak mengabaikan pengambilan ubat di bulan puasa.
"Jika terlupa mengambil ubat di waktu berbuka, tidak membawa masalah besar (banyak masa sehingga sahur).
"Tetapi, jika tertinggal ubat di waktu sahur, mungkin ada sedikit masalah (perlu tunggu sehingga waktu berbuka)."
Walaupun kesan terhadap diri pesakit hanya jelas selepas beberapa kali atau beberapa hari tidak mengambil ubat, pesakit tidak sepatutnya terus menerus 'terlupa' pengambilan ubat.
"Pesakit masih boleh berpuasa jika terlupa mengambil ubat sekali, tapi jangan dibuat selalu, jangan jadikan amalan," tegasnya.
Beliau turut menyarankan pesakit yang menghidap gastrik, pada hari biasa atau ketika Ramadan, untuk berjumpa doktor bagi memastikan tiada masalah besar dalam sistem penghadaman.
Jadual pengambilan ubat di bulan puasa juga tidak boleh dibuat sesuka hati. Dr. Abdul Malik menegaskan setiap pesakit perlu mendapatkan pandangan dan nasihat doktor pakar terlebih dahulu sebelum mengatur semula masa dan cara pengambilan ubat untuk berpuasa.
"Sebaik-baiknya, jumpa doktor dahulu untuk bertanya bagaimana mengubah cara pengambilan ubat semasa bulan puasa, mengikut keperluan individu pesakit dan penyakit yang dihadapi."
Perubahan rawatan ketika bulan puasa bukan sahaja melibatkan peralihan waktu mengambil ubat, malahan mungkin melibatkan penukaran jenis ubat.
Doktor mungkin akan memberikan ubat yang tidak perlu diambil dengan kerap, bersesuaian dengan situasi ketika berpuasa.
Tidak kira dari segi pengambilan ubat, pemakanan dan senaman, tujuan utama adalah untuk pesakit terus mengawal situasi kesihatan mereka, di bulan Ramadan atau hari-hari biasa.
Sebarang perubahan negatif bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan dan ketahanan badan, malahan akan mendedahkan pesakit kepada risiko penyakit lain seperti selesema babi.
Ingat, virus H1N1 dan banyak kuman lain lebih mudah menjangkiti dan juga menyebabkan komplikasi di kalangan penghidap penyakit kronik yang mengabaikan kesihatan mereka.
Oleh itu, sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab terhadap rawatan serta tahap kesihatan diri.
Jadikanlah amalan berpuasa satu cara menguat dan memulihkan badan, tanpa mengabaikan sebarang bentuk rawatan dan perlindungan diri, terhadap sebarang ancaman jangkitan dan penyakit.

Jadual Harian Seorang Muslim Di Bulan Ramadhan

4.00 pagi Bangun

Berdoa kepad ALLAH dengan doa : Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan aku setelah DIA mematikan aku dan kepadaNYAlah aku akan dikembalikan. Berniatlah untuk melaksanakan sebanyak-banyak kebaikan hari itu. Mandi dan membersihkan diri. Mengambil wudhu dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian.

4.20 pagi Solat Sunat Taubat

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat taubat 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua selepasAl-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa.
Solat Sunat Tahajjud

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat tahajjud 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH.
Solat Sunat Hajat

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat hajat 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Selepas Al-Fatihah rakaat pertama baca ayatul Kursi 1 kali. Selepas Al-Fatihah rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 11 kali. Ketika sujud terakhir baca 11 kali dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita.
Solat Sunat Witir

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat witir 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Selepas salam, bangun lagi dan sembahyang witir 1 rakaat. Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, meminta-minta, merintih-rintih, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita.
5.00 pagi Makan Sahur - Menggosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut.
5.28 pagi Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat. Sembahyang sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah. Selesaikan wirid harian di tikar sembahyang atau baca Al-Quran hingga terbit matahari.
7.00 pagi Membuat persiapan ke tempat kerja.

Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah dan doa kepada ALLAHagar semua aktiviti kita diberkatiNYA. Sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW sama ada menyebutnya atau di hati. Banyakkan istigfar/meminta ampun. Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan penuh bertanggungjawab. Datangkanrasa bahawa ALLAH sentiasa memerhati kerja-kerja yang di lakukan dan yakinlah DIA akan membalas segala kebaikan yang kita buat.

10.00 pagi Sembahyang Sunat Dhuha. Ia adalah sumber rezki yg berkat kalau istiqamah diamalkan.

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat dhuha 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Penuhi masa rehat tengahari dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran. Elakkan sungguh-sungguh dari melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yg sia-sia.

Contoh dosa-dosa : mengumpat mengutuk, menyindir yang menyakitkan orang, bergaul bebas tanpa menjaga syariat seperti berbual dengan bukan muhrimmengenai perkara yang tiada sangkut paut dgn kerja.

12.45 tgh Bersiap untuk solat Zohor.

Menunggu waktu bersembahyang dengan berselawat. Solat Zohor berjemaah.Laksanaka n juga solat sunat Rawatib Bersujud. Syukur setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yg memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA.
4.15 ptg Bersedia untuk solat Asar.

Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah. Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yg memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA.

5.30 ptg Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur Tanpa berlebih-lebih. Ingatlah walaupun syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dlm diri kita !!!

6.30 ptg Memperbanyakkan doa sebelum berbuka. Kerana di waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah sabda Rasulullah SAW : "Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga", merintihlah kepada ALLAH memohon agar amalan kita diterima.

Apabila masuk waktu magrib. Bacalah doa dan berbuka :
Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman dan dengan rezki engkaulah aku berbuka. Berbuka puasa dengan makanan manis seperti buah kurma dan meminum air, terus menunaikan solat maghrib berjemaah, setelah itu barulah makan makanan berat.

8.00 mlm Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Terawih. Cuba pertahankan solat terawih walau bagaimana keadaan sekalipun kerana fadhilatnya amat besar. Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk, seeloknya baca dengan bertadarus ( berkumpulan bergilir-gilir, seorang baca, yang lain menyemaknya) , cuba khatamkan membaca Al-Quran paling kurang satu kali sepanjang ramadhan. Kebanyakan imam-imam besar mengkhatamnya dua kali dalam sehari (60 kali sebulan Ramadhan)

11.00 mlm Memperbanyakkan istigfar sebelum tidur. Berniatlah utk puasa esok hari dgn berniat : Sahaja aku berpuasa hari esok untuk menunaikan puasa ramadhanyg wajib ke atasku , tahun ini kerana ALLAH Taala. ( JANGAN LUPA!!!) Tidur awal agar dapat bangun utk beribadah.

Bacalah doa sebelum tidur :
Dengan namaMU Ya ALLAH! Aku hidup dan mati. Ingatlah tidur adalah mati yg sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur.

Kisah Nabi; PERBEZAAN SEMUT DAN MANUSIA

Perbezaan Semut & Manusia
Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".
Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".
Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa". Itulah Iman Semut!!

Kata Saidina Ali kepada Kamil: " ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA, ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA, ILMU MENJADI HAKIM, HARTA DIHAKIMKAN, HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMU BERTAMBAH APABILA DIBELANJAKAN" .