MASUK IKLAN ANDA (FREE IKLAN SETIAP 5 JAM)

Klik Saja

Sunday, August 23, 2009

AGAMA Orang berpuasa dijanjikan kemenangan dunia, akhirat

Oleh Abd Al-Razzaq A Muthalib Ahmad

"DAN berpuasa itu lebih baik bagi kamu, sekiranya kamu mengetahui" (al-Baqarah: 184). Ayat ini begitu ringkas, namun tidak sama ringkasnya pernyataan Allah ini dengan kata makhluk-Nya. Sesungguhnya puasa bukan membebankan, tetapi peluang untuk mengumpul pahala.

Puasa sebagai perisai.

Dalam hadis, Nabi SAW menganjurkan kepada mereka yang berkeinginan berkahwin tetapi tidak mampu, supaya berpuasa. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Wahai pemuda! Sesiapa antara kamu yang berkemampuan kahwin, maka berkahwinlah. Ia lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa kerana ia dapat menjadi perisai baginya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).




Dalam hadis lain pula dinyatakan puasa menjadi perisai dan penghalang kepada api neraka. Daripada Abu Said al-Khudri berkata, Rasulullah bersabda maksudnya: "Tidaklah seseorang hamba yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, kecuali Allah menjauhkannya dengan puasa itu daripada api neraka sejarak 70 tahun perjalanan" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim).

Puasa dapat masukkan seseorang ke syurga.

Daripada Abu Umamah ra berkata: "Aku pernah bertanya, wahai Rasulullah, tunjukkan amalan yang aku dapat masuk syurga dengannya. Nabi SAW menjawab, hendaklah engkau berpuasa, tiada lagi yang seumpamanya" . (Riwayat al-Nasai, Ibn Hibban dan al-Hakim)
Pahala tiada had.

Dua kegembiraan.

Bau mulut lebih harum daripada kasturi di sisi Allah .

Ketiga-tiga kelebihan ini dinyatakan Rasulullah dalam hadis bermaksud Daripada Abu Hurairah berkata: "Bersabda Rasulullah, Allah berfirman maksudnya: "Setiap amalan anak Adam itu baginya (pahala yang ada had), kecuali puasa kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya dan puasa itu perisai dan apabila seseorang berpuasa, janganlah ia mengeluarkan kata lucah dan tidak juga bercakap kasar. Jika ada orang lain mengejinya atau ingin berkelahi dengannya, katakanlah, sesungguhnya aku berpuasa. Demi Tuhan yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada haruman kasturi. Untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: ketika dia berbuka, satu kegembiraan baginya, dan tatkala dia bertemu dengan Tuhannya, dia akan gembira dengan ibadah puasanya" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Orang berpuasa menikmati dua kegembiraan iaitu dunia (menikmati juadah) dan akhirat (bertemu Allah di akhirat).

Disediakan al-Rayyan iaitu pintu syurga yang dikhaskan untuk orang berpuasa.
SETIAP Muslim perlu ikhlas dan bersungguh-sungguh melaksanakan ibadat. sebelum ditakdirkan bertemu Allah bila-bila masa saja. - Gambar hiasan
Tingkat ibadat rebut keberkatan bulan yang mulia

KEHADIRAN Ramadan begitu bermakna dalam kehidupan Muslim kerana ia menjanjikan pelbagai keistimewaan dan ganjaran berlipat ganda yang disediakan Allah kepada hamba-Nya yang bertakwa. Ramadan menuntut setiap Muslim merenung dan bermuhasabah persediaan serta amalan sebelum, ketika dan selepas Ramadan.

Muhasabah penting kerana Ramadan hanya setahun sekali, tambahan pula apakah kita yakin terus bernyawa pada Ramadan akan datang. Biarlah Ramadan kali ini kita melaksanakan yang terbaik sebelum ditakdirkan bertemu Allah pada bila-bila masa saja. Muslim yang bijaksana juga memanfaatkan keistimewaan yang terhimpun sepanjang Ramadan dengan berpuasa dan beribadat sunat.

Persediaan pertama yang wajib dilakukan ialah terhadap jasmani dan rohani kerana ibadat sepanjang Ramadan berkait dengan amalan zahir dan batin. Rasulullah membuat persediaan menyambut Ramadan dengan berpuasa sunat pada Rejab dan Syaaban.




Rejab adalah permulaan bulan yang mulia dan Mukmin bertakwa tidak melepaskan peluang memanfaatkan kelebihan bulan ini untuk melipatgandakan amalan termasuk puasa sunat sebagai persediaan menghadapi penghulu segala bulan, Ramadan. Rasulullah berdoa setiap datang Rejab bermaksud: "Ya Allah! Berkati kami pada Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadan."

Begitulah amalan orang Mukmin bertakwa dan beristiqamah mempersiapkan diri sama ada fizikal dan rohani. Mereka membersihkan diri dan hati sebelum menyambut Ramadan yang agung agar ia bersedia menerima cahaya, rahmat dan kurnia Allah yang tidak terhingga pada bulan penuh rahmat.

Ahli hikmat berkata: "Sesungguhnya Rejab adalah bulan memohon ampun segala dosa dan Syaaban untuk memperbaiki hati daripada kecacatan dan Ramadan untuk memberi penerangan hati, sedang malam al-Qadar untuk mendekatkan diri kepada Allah."
Muslim juga dituntut mengulang kaji persoalan mengenai puasa seperti rukun, syarat, sunat, makruh, adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmahnya. Kesempurnaan puasa dan penerimaannya di sisi Allah bergantung pada cara pelaksanaan ibadat berdasarkan sunah atau tidak. Mengetahui cara melakukan puasa dengan betul antara ciri ketakwaan yang ditegaskan Allah sebagai objektif utama pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam.

Muslim diwajibkan mengekang diri daripada kecenderungan negatif yang boleh mencacatkan kesempurnaan fadilat puasa kerana matlamat utama ibadah ini ialah menahan diri daripada nafsu duniawi kecil atau besar dan nikmat jasmani (makan, minum dan seks) atau penyakit rohani (mengumpat, dengki dan sombong).

Muslim harus memperbanyakkan amalan sunat seperti solat tarawih, witir, tahajud, tadarus al-Quran dan iktikaf. Allah menjanjikan pahala satu amalan wajib pada Ramadan menyamai 70 amalan wajib pada bulan lain dan satu amalan sunat pula menyamai satu amalan wajib pada bulan lain.

Tawaran istimewa Allah sediakan pada Ramadan wajar menjadi perangsang Muslim merebut ganjaran yang tiada pada bulan lain.
Ibadat puasa tidak patut menjadi penghalang melakukan kerja seharian ikhlas kerana Allah yang dianggap sebagai ibadat.

Ibadat diberikan Allah ganjaran berganda. Mengapa perlu disia-siakan detik berharga sepanjang Ramadan dengan tidur dan bermalas. Alangkah ruginya manusia yang tidak memanfaatkan kelebihan yang Allah janjikan sepanjang Ramadan.

No comments: