MASUK IKLAN ANDA (FREE IKLAN SETIAP 5 JAM)

Klik Saja

Saturday, August 22, 2009

Berpuasa bagi wanita hamil

BULAN Ramadan akan menjelma dalam masa berberapa hari lagi. Bagi wanita yang mengandung, tentulah mereka mempunyai banyak persoalan sama ada mengandung tidak sesuai berpuasa dan kesannya terhadap kesihatan ibu dan anak.

Sebagaimana yang diketahui, dalam Islam, mereka yang dikecualikan daripada berpuasa semasa bulan Ramadan adalah:

1. Wanita yang kandungan mereka sudah mencapai trimester ketiga dan akan melahirkan anak bila-bila masa, atau mana-mana minggu di mana mengandung dan berpuasa membahayakan kesihatan, mengikut doktor yang merawat mereka.

2. Wanita yang menyusukan anak

3. Wanita yang sedang mengalami kehadiran haid

4. Wanita yang mengalami nifas

Kesihatan janin semasa ibu mengandung pula boleh dilihat dari dua sudut iaitu pemakanan ibu dan gangguan metabolisma badan ibu.

Sebelum puan melaksanakan puasa, berbincang terlebih dahulu dengan doktor peribadi antenatal kerana mereka lebih mengetahui akan sejarah kandungan dan kesihatan Puan.

l Pilihan

Berkemungkinan doktor menasihati puan supaya tidak berpuasa sekiranya puan menghidapi kencing manis yang memerlukan rawatan insulin, darah tinggi dan juga permasalahan dengan sistem pencernaan dan penghadaman, terutamanya sekira Puan menghadapi loya-loya dan muntah-muntah semasa awal mengandung.

Prinsip pemakanan yang betul, penting semasa mengandung, tidak kira sama ada di bulan Ramadan ataupun tidak.

Pola pemakanan puan sepatutnya membekalkan pemakanan optimum untuk dua individu, puan dan janin yang dikandung. Jangan keterlaluan dalam memakan semasa di bulan Ramadan.

Penting diingatkan supaya meminum air dengan secukupnya, kerana negara kita berada di garisan Khatulistiwa, cuacanya panas sepanjang musim.

Ini dapat menghindar dehidrasi dari berlaku. Puan dinasihatkan meminum sekurang-kurangnya dua liter air sehari.

Sekiranya berat badan ibu mencapai lebih kurang 11 hingga 15 kilogram sepanjang mengandung, lazimnya pemakanan ibu memadai dan berpuasa biasanya tidak mengancam kesihatan.

Kelahiran bayi yang kurang berat badan biasanya berlaku pada ibu yang tidak seimbang dari segi pemakanannya (malnutrisi) .

Berat badan ibu juga mungkin berubah semasa bulan Ramadan bergantung pada jumlah kalori yang diambil.

Banyak kajian menunjukkan berpuasa di bulan Ramadan tidak memudaratkan ibu sekiranya mereka mengambil kalori dan zat makanan yang mencukupi.

Lagipun, berpuasa untuk orang Islam, hanya makanan tengahari dilupuskan. Pengambilan makanan pagi (sahur) serta malam (berbuka puasa) perlu diamalkan mengikut yang disyorkan oleh agama.

l Amalan pemakanan

Wanita mengandung sebenarnya mudah mengalami komplikasi akibat dari kesalahan amalan pemakanan.

Kebuluran berlaku pantas semasa mengandung. Sekiranya kalori serta zat pemakanan tidak ditegaskan dengan betul, metabolisma badan ibu berubah dari glikolisis ke lipolisis dan seterusnya pembentukkan bahan bahan ber'ketone'.

Puan dinasihatkan supaya jangan meninggalkan sahur sekiranya ingin berpuasa dan berat badan perlulah diamati supaya metabolisma badan tidak menjejaskan kesihatan puan serta janin.

Pakar Perbidanan biasanya tidak menggalakkan ibu mangandung untuk berpuasa pada trimester pertama (12 minggu pertama) dan juga pada trimester ketiga (terakhir).

Mengandung pada bulan keempat hingga keenam dibenarkan dengan syarat kesihatan badan serta mental puan bagus dan juga puan disahkan oleh pakar perbidanan yang puasa mungkin tidak memudaratkan.

Pemantauan puan serta kandungan akan dilakukan dengan lebih kerap. Dikhuatiri permasalahan yang timbul bukan dari segi pemakanan tetapi dari segi dihidrasi (kekeringan air dari badan) akibat dari pengurangan pengambilan air selama 10 hingga 14 jam.

Sekiranya pola pemakanan Puan tidak betul, berkemungkinan Puan akan mengalami:

n Ketidakcernaan dan senak perut akibat dari memakan berlebihan, makanan berempah, berlemak serta bergoreng dan juga minuman bergas (berkarbonat) .

n Sembelit akibat dari makanan yang diproses, kekurangan pengambilan air serta gentian. Untuk mengelakkannya, banyakkan makanan bijirin, buah-buahan serta sayur-sayuran.

n Kelesuan serta keletihan. Ini disebabkan oleh makanan yang dimakan banyak kandungan kanji serta berkarbohidrat dan berlemak.

n Sakit kepala dari tidur yang tidak mencukupi.

n Kekejangan otot-otot.

n Tidur haruslah mencukupi supaya keseimbangan mental serta fizikal berlaku besoknya semasa puan ke tempat kerja, pengajian dan sebagainya. Kekurangan tidur menyebabkan kekeliruan, bercelaru, masalah pencernaan dan juga sakit kepala, yang turut membahayakan kandungan.

l Berpuasa

Sekiranya puan berpuasa tanpa pengambilan sahur yang betul, puan mungkin mengalami gejala hipoglisemia (kekurangan gula badan). Hipoglisemia ini dibahagikan kepada dua:

n Rungutan yang berkaitan dengan pengaktifan sistem autonomik serta rembesan epinefrin seperti berpeluh, terketar-ketar, berdebar-debar, denyutan nadi meningkat, rasa cemas, lemah loya dan rasa loya-loya serta muntah-muntah.

n Kategori rungutan kedua bersabit dengan berkurangan penggunaan glukos oleh otak, lama kelamaan penurunan gula menjadi lebih teruk dan rendah. Biasanya mereka ini akan mengalami sakit kepala, penglihatan kabur, letih lesu, tidak bermaya, mudah terganggu serta sensitif, kurang fokus, hilang tumpuan, kekeliruan, mengantuk, hilang timbul kesedaran, kehilangan keupayaan intelek dan perubahan personaliti.

Ibu yang mengandung seboleh-bolehnya perlu mengelakkan dari:

n Pengambilan gula, garam dan lemak berlebihan. kafein dari kopi khasnya juga perlu dielakkan.

n Dinasihatkan supaya mengamalkan pengambilan makanan yang segar dan bukannya makanan diproses.

n Pemakanan rendah tahap garam, kurangkan makanan berminyak.

n Pastikan buah-buahan serta sayur- sayuran sebagai menu utama makanan puan. Makanan tersebut lazimnya kurang kalori dan juga lazimnya sukar untuk memakan makanan tersebut secara berlebihan kerana mudah berasa kenyang!

n Makanan sampingan seperti kuih muih contohnya kuih tanjung, Nekbat, jala mas boleh dimakan (nafsu di bulan ramadan mendorong), tetapi kurangkan, hanya sekadar untuk merasa sudah memadai.

Puan juga harus menjalani aktiviti bersenam secara aerobik di bulan puasa. Perlu diingat, ramai yang mempunyai kecenderungan untuk menurunkan berat badan di bulan puasa, tetapi, sebagai wanita yang mengandung, bersenam bukan untuk menurunkan berat badan!

Ia bertujuan untuk meningkatkan stamina serta menguatkan badan puan untuk proses kelahiran kelak.

Bayangkan rahim puan terpaksa mengalami berkontraksi berjam-jam lamanya untuk melahirkan bayi, seperti mana ahli sukan maraton di sukan Olimpik!

Bersenam adalah pendorong utama untuk mengurangkan selera makan. Otak juga mengeluarkan bahan kimia tertentu yang mengurangkan selera dan nafsu makan, jadi bersenamlah secara aerobik untuk 20 hingga 30 minit sehari.

Islam mementingkan kesihatan badan puan! Ramai ulama bersependapat yang berpuasa tidak perlu dilaksanakan sekiranya puan takut dan khuatir akan kesihatan janin, dan juga sekiranya puan sedang menyusukan anak. Puasa boleh diganti pada hari-hari kemudiannya di bulan-bulan lain.

Bacalah buku-buku mengenai jenis-jenis makanan serta zat-zat mereka. Di bulan Ramadan ini, puan boleh mengubah cara hidangan serta jenis diet-diet yang boleh mengubah gaya pemakanan sekeluarga.

Jayakan bulan Ramadan sebagaimana yang sepatutnya. Utamakan makanan segar dalam diet seharian.

No comments: